Camu Camu, nama botani -
Myrciaria dubia, genus Myrciaria, dari kerabat Myrtaceae. Nama lain - Cacari,
Camocamo, Araca d'agua, Araza de Agua, Guapuro Blanco, dan berbagai nama lagi.
Spesis yang
terdekat dengannya ialah Jaboticaba (Myrciaria cauliflora), Guavaberry/Rumberry
(Myrciaria floribunda), dan Gowok/Kupa/Kepa (Syzygium polycephalum).
Pohon Camu Camu
tumbuh bertaburan di merata lembah kehutanan Amazon; Peru, Brazil, Colombia, Ecuador, Bolivia, Venezuela dan
negara persekitarannya.
Sepertimana pohon Acerola, Camu Camu juga pohon
merendang. Tidak begitu tinggi, hanya sekitar 3-5 meter. Kebanyakan pohon Camu
Camu bercambah melalui biji. Ia mudah tumbuh. Mampu hidup dalam iklim panas,
lembab tropika, dan dingin sub-tropika. Ia perlu banyak air; banyak tumbuh
meliar di tepi-tepi sungai, kawasan bertasik berpaya, bahkan di lembah banjir.
Ia hidup tegar, mampu bertahan terendam di dalam air sehingga 4-5 bulan.
Sekiranya tumbuh dari biji, mula berbuah usia 3
tahun ke atas. Berbuah jenis bermusim. Buahnya bewarna merah-kehijauan,
merah-keunguan sepertimana ceri Acerola. Bunga-bunga pula berwarna putih, harum
aroma.
Keistimewaan Camu Camu terletak pada kandungan
vitamin C yang sangat tinggi (mega) pada buahnya. Buah Camu Camu mentah
mengandungi lebih kurang 2,880 mg vitamin C setiap 100 gm, melebihi Acerola
(1,790 mg). Camu Camu berada pada ranking ke-2 dunia selepas Kakadu Plum
(terminalia ferdinandiana) dari Australia. Sepertimana Acerola, kandungan
Vitamin C di dalam buah Camu Camu semakin berkurangan apabila ia semakin matang
atau masak ranum.
Analisa Nutrien Camu Camu. Banyak analisa dilakukan
tentang kandungan nutrien Camu Camu. Setiap satunya berbeda, terutama pada
kandungan vitamin C. Ini mungkin disebabkan keadaan iklim dan tanah tempat
pohon Camu Camu tumbuh. Namun, secara amnya, Camu Camu tetap unggul dengan
kandungan vitamin C!!!
Analisa di bawah ini adalah dari makmal bebas,
disiarkan oleh “Whole World Botanicals”, satu badan pengkaji flora dan fauna di
belantara Amazon. Analisa dilakukan ke atas Serbuk/Bubuk Camu Camu (Royal Camu
Camu Powder):
Dan ini pula analisa buah Camu Camu mentah (100 gm)
dilakukan oleh Jabatan Perhutanan, "Food and Agriculture Organisation of
the United Nations", 1965:
Buah Camu Camu padat dengan vitamin C. Camu Camu
juga kaya dengan zat kimia phyto dan “flavonoid”; anthocyanin, flavonol dan
flavanol, catechin, delphinidin 3-glucoside, cyanidin 3-glucoside, asid ellagik
dan gallik, dan rutin. Vitamin C akan lebih berkesan apabila disertai zat-zat
kimia phyto.
Dr. Szent-Gyorgi, Pemenang "Nobel Prize"
Perubatan, 1937 kerana berjaya memisahkan asid askorbik (vitamin C), mengaku
bahawa vitamin C lebih bermanfaat apabila di makan dari bahan makanan
semulajadi. Makanan semulajadi yang mengandungi vitamin C, juga mengandungi
nutrien lain. Nutrien tersebut bertindak sebagai aktor gandingan kepada vitamin
C. Dengan demikian, vitamin C tersebut akan lebih mudah dimanfaatkan oleh
tubuh. Justru, vitamin C asli dari Camu Camu menjadi lebih berkesan dengan
tindak-balas bio dari zat-zat gizi dan asid amino yang sama berada di dalam
Cama Camu tersebut.
Antara zat gizi yang terkandung di dalam Camu Camu
ialah kalsium, phosphorus, potassium dan besi. Dan vitamin-vitaminnya:
beta-karotin, thiamin (B1), riboflavin (B2), dan niacin (B3). Disamping itu,
Camu Camu juga mengandungi protein; terutama asid amino valine, leucine dan
serine.
Manfaat Camu Camu
1 Penghasilan dan Kesihatan Collagen. Kepadatan
vitamin C di dalam Camu Camu merupakan unsur aktif bagi menghasil dan
menyihatkan collagen tubuh.
Sebenarnya, vitamin C terlibat secara lansung dalam
setiap peringkat penghasilan collagen. Collagen adalah sejenis protein yang
paling banyak di dalam tubuh. Berada pada setiap anggota tubuh. Berupa serat
putih yang liat dan teguh, lebih teguh dari kawat/dawai logam yang sama ukuran.
Juga sebagai "elatin" berwarna kuning (lapisan pelindung pada urat
saraf). Collagen merupakan komponen utama pada serat-serat tisu yang saling
terhubung; seperti kulit, tendon, ligamen, cartilage, jantung, cornea mata,
tulang, gigi, usus, pembuluh-pembuluh dan saluran-saluran darah, bahkan pada
setiap bahagian tubuh. Semuanya terikat rapi mendirikan seluruh tubuh.
Oleh yang demikian, vitamin C sangat penting pada
tumbesaran bayi dan kanak-kanak. Bergandingan dengan asid amino
"leucine" dalam Camu Camu, hormon tumbesaran dan aktiviti kanak-kanak
akan lebih semarak.
Vitamin C menyihatkan collagen. Kekurangan vitamin
C akan melemahkan collagen. Apabila collagen lemah, semua fungsi-fungsi utama
di dalam tubuh akan terjejas. Akibatnya, jantung, pembuluh darah dan
organ-organ lain tidak mampu menjadi sihat. Sistem-sistem di dalam tubuh tidak
mampu berfungsi dengan sempurna. Berbagai jenis penyakit akan muncul; seperti
biri-biri, gusi berdarah, gusi mengecut dan gigi tanggal, tulang mudah retak,
tulang rapuh, keradangan sendi, kerosakan cartilage pada sendi-sendi
“osteoarthritis” dll.
Collagen juga tidak dapat dihasilkan tanpa vitamin
C. Pembinaan dan keutuhan collagen sentiasa memerlukan bekalan vitamin C.
Justru, bekalan vitamin C yang berterusan pada tubuh adalah penting bagi
manghasilkan collagen dan memelihara collagen agar sentiasa sihat, struktur
tubuh akan sentiasa utuh, tidak goyah atau uzur. Camu Camu sangat baik untuk
pembinaan dan kesihatan collagen !!!
2 Anti-Oksidan. Vitamin C adalah salah satu dari
kelompok anti-oksidan yang sangat berkesan. Anti-oksidan adalah perlu bagi
membasmi sisa pengoksidanan. Pengoksidanan adalah proses metabolisma semulajadi
di dalam tubuh. Nutrien dari permakanan dan minuman di cerna dan di serap untuk
menghasilkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk terus hidup. Tanpa proses
metabolisma, tubuh akan lemah dan mati. Justru, pengoksidanan adalah perlu
untuk tubuh. Akan tetapi, pengoksidanan juga menghasilkan radikal bebas yang
membahayakan kesihatan tubuh.
Radikal bebas adalah sisa dari proses metabolisma.
Sisa yang merupakan atom yang kehilangan pasangan elektronnya, menjadikan atom
tersebut tidak stabil, lalu merampas mana-mana elektron dari atom-atom lain
yang menghampiri atau dihampirinya. Sekiranya kejadian sebegini berterusan dan
tidak terkawal, akan mencetuskan rangkaian radikal-radikal bebas yang lain.
Lama-kelamaan, kerosakan akan berlaku pada mana-mana bahagian organ tubuh; seperti
jantung, kulit, tisu, otot, selaput otot, dan juga DNA seseorang. Radikal bebas
yang leluasa akan menghambat kekedutan, ketuaan, kanser, penyakit jantung,
darah tinggi, keradangan kronik, kencing manis, cataracts, arthritis, masalah
gusi-gigi gingivitis, periodontitis dan berbagai penyakit-penyakit lain.
Untuk menghalang atau melambatkan cetusan radikal
bebas tersebut dari terus merebak, anti-oksidan diperlukan. Ciri-ciri
anti-oksidan pada vitamin C dapat melindungi sel-sel tubuh dari rebakan, cetusan
dan kesan negatif radikal bebas.Vitamin C adalah anti-oksidan yang terserap
air. Sifat ini membolehkan vitamin C memberi tindak-balas segera dan efektif
terhadap radikal bebas. Justru, Vitamin C adalah penggempur radikal bebas;
meringankan bebanan pengoksidanan di dalam tubuh; penghalang kekedutan sel-sel,
tisu-tisu, kulit-kulit dan organ-organ; pelindung tubuh dari beberapa jenis
penyakit yang berkait-rapat dengan radikal bebas. Camu Camu adalah salah satu
sumber anti-oksidan yang terbaik.
3 Anti-Penuaan dan Kesihatan Kulit. Vitamin C
sebagai anti-oksidan berkesan menghalang penuaan (oksidasi pra-matang sel-sel
tubuh). Camu Camu tinggi vitamin C boleh membantu tubuh menghalang tanda dan
gejala penuaan pada lapisan kulit. Kulit menjadi kurang berminyak, lebih sihat
dan segar, lebih bersinar dan lembut, tegang dan anjal, melambatkan proses
penuaan.
Vitamin C juga mempunyai peranan penting dalam
menyembuhkan luka dan kecederaan. Dengan bekalan vitamin C yang sentiasa
mencukupi, tubuh lebih mudah melawan jangkitan dari bakteria, kulat dan virus.
Tanda-tanda kekurangan vitamin C; termasuklah rambut menjadi kering dan
pecah-pecah, kulit menjadi kasar kering dan mengelupas, kulit mudah luka atau
tercalar, luka lambat sembuh, eczema, hidung berdarah, panau, kurap, jeragat
dan rosacea, campak, gejala allergi seperti asma, selsema, jangkitan paru-paru
dll.
4 Anti-Keradangan. Vitamin C adalah
anti-keradangan. Pada dasarnya, keradangan adalah sebahagian dari tindak-balas
sistem kekebalan tubuh. Tubuh cuba melindungi diri dari sebarang unsur-unsur
mudarat kesihatan; seperti bakteria, virus, kulat/jamur, sisa-sisa toksik,
sel-sel yang mati dll. Apabila unsur-unsur mudarat ini menjangkiti pada
mana-mana bahagian tubuh, sistem kekebalan bertindak-balas untuk cuba me-nyahkan
unsur-unsur tersebut. Sekaligus memulakan proses penyembuhan pada bahagian
tubuh yang terjejas. Kesan tindak-balas ini dapat di lihat melalui gejala
keradangan yang timbul atau dialami.
Kadangkala, keradangan merebak, menjadi
parah/kronik, apabila proses penyembuhan di dalam tubuh tidak berlaku
sewajarnya. Keadaan ini boleh menimbulkan berbagai masalah kesihatan, berbagai
penyakit; seperti "rheumatoid arthritis", sistem kekebalan tubuh
terjejas dan terkeliru, risiko sakit jantung dll. Apabila keradangan berlaku,
collagen di dalam cartilage boleh runtuh, penyebab terjadinya “osteoarthritis”.
Keadaan ini membuat tulang bergeseran sesama sendiri, menyebabkan rasa nyilu
dan sangat menyakitkan. Dengan bekalan vitamin C yang sentiasa mencukupi, dapat
mempertahan dan memperteguhkan cartilage dan tisu-tisu penghubung yang lain,
dan mengurangkan beban kesakitan yang dialami.
Gejala-gejala keradangan lain juga dapat dihindari;
termasuk angina (sakit menyucuk/memulas di dada jantung seperti tidak mendapat
bekalan darah yang mencukupi), bisul mulut dan bibir, gusi berdarah, gingivitis
(bengkak gusi), gigi longgar, sengal dan sakit sendi, mudah terseliuh,
bronchitis, sakit kerongkong (tenggorokan), jangkitan saluran air kencing dll.
Ada kajian menunjukkan bahawa vitamin C juga adalah anti-Parkinson.
Vitamin C, sebagai anti-keradangan, sangat penting
pada tubuh. Vitamin ini memberi kesan positif pada keseluruhan tubuh.
Berperanan melindungi sendi-sendi tulang, kulit dan sebagainya. Membantu tubuh
merawat dan menghalang keradangan dari terus merebak menjadi kronik. Melawan
sebarang penyakit yang disebabkan keradangan. Camu Camu bermanfaat bagi
menanggani masalah keradangan.
5 Pemampan Sistem Kekebalan Tubuh. Vitamin C
berperanan membantu memelihara sistem kekebalan tubuh agar sentiasa mampu
berfungsi dengan berkesan. Fungsi sistem kekebalan ialah melindungi tubuh dari
sebarang serangan atau jangkitan mikro-organisma yang boleh menjejaskan
kesihatan; seperti bakteria, virus, dan kulat/jamur dll. Sistem ini menghasilkan
sel-sel darah putih (sel-sel kekebalan); terutama “phagocytes” dan
“T-lymphocytes” serta jenis sel-sel kekebalan yang lain, sebagai penggempur dan
penghapus mikro-organisma tersebut.
Vitamin C membantu sistem kekebalan dengan
memperbanyak penghasilan sel-sel kekebalan ini. Vitamin C sangat cepat
dipergunakan apabila berlaku serangan atau jangkitan mikro-organisma.Vitamin C
juga melindungi sel-sel kekebalan dari serangan radikal bebas ketika
bertindak-balas dengan mikro-organisma.
Kekurangan vitamin C bukan boleh menjejaskan fungsi
sel-sel kekebalan. Sel-sel kekebalan juga akan cepat lemah dan musnah.
Akhirnya, memberi kesan buruk kepada sistem kekebalan tubuh, mengurangkan
dayatahan tubuh dari serangan mikro-organisma. Justru, pengambilan Camu Camu
setiap hari adalah terbaik untuk kemampanan sistem kekebalan tubuh.
6 Sistem Pengaliran Darah. Vitamin C berpengaruh
pada sistem pengaliran darah. Sifat anti-oksidan yang dimiliki oleh vitamin C,
apabila terserap ke dalam darah, mampu meleraikan gumpalan "plaque"
dan kolestrol merbahaya (LDL) pada dinding-dinding pembuluh arteri dan veina,
pada masa yang sama menambah kolestrol bermanfaat (HDL).
Ia mencuci pembuluh arteri, menghindar arteri dari
tersumbat, mengembalikan keanjalan arteri, mengurangkan tekanan darah tinggi
atau "hypertension", dan melancarkan pengaliran darah ke jantung.
Oleh yang demikian, mengurangkan risiko tekanan darah tinggi, menghindar atau
melambatkan perkembangan penyakit "atherosclerosis" (saluran dan
pembuluh darah arteri menjadi keras), “peripheral artery disease” (penyakit
pembuluh/saluran darah tersimpul di kawasan kaki/betis) dan serangan sakit
jantung. Salah satu dari ciri vitamin C, ia membantu tubuh menyerap zat besi,
maka sangat bermanfaat pada pesakit “anemia” (kekurangan darah).
Camu Camu yang disertai kandungan zat-zat gizi
didalamnya sangat bermanfaat untuk kelancaran sistem pengaliran darah di dalam
tubuh.
7 Anti-Stres. Migrain sering berlaku, sehingga
kebanyakan orang menganggapnya perkara biasa dalam hidup. Ia berkaitan dengan
sistem saraf yang di serang oleh kimia toksin dari makanan serta dipengaruhi
oleh cuaca yang tercemar. Camu Camu adalah buah yang mengandungi nutrien
perlindungan saraf, mampu mengurangi masalah migrain. Asid amino
"serine" baik untuk membantu menyihatkan fungsi otak dan sistem
saraf, mempertingkat daya ingatan dan kepekaan. Sebagai tambahan, jauhi pemanis
aspartame, sodas dan makanan berMSG, dengan demikian dapat mengurangi masalah
migrain.
Gary Null, Ph.D., seorang pengkaji dan pakar
permakanan, dalam bukunya "Clinician’s Handbook of Natural Healing,
(1998)", menyatakan Camu Camu mengandungi kimia phyto yang tinggi. Sangat
berkesan menanggani masalah tekanan perasaan atau stres. Tindak-balas bio-kimia
Vitamin C juga menyemarakkan penghasilan "serotonin" di dalam otak.
Serotonin adalah sejenis kimia di dalam otak yang mengawal "mood"
berkaitan rasa bahagia, sukacita atau sebaliknya. Vitamin C adalah terapi
anti-stres.
8 Anti-Virus. Camu Camu banyak mengandungi kimia
phyto. Kajian menunjukkan bahan kimia phyto ini mampu menanggani virus
"Herpes Simplex" dan "Eppstein-Barr" yang selalu menyerang
tubuh.Virus ini selalu menyebabkan Herpes Simplex dalam bentuk bintik-bintik
lepuhan pada mulut, gatal-gatal pada kulit. Penyakit Eppstein-Barr pula dalam
bentuk demam, selsema, sakit kerongkong (tenggorokan), keletihan, kelenjar
bengkak di bahagian leher atau ketiak. Virus ini selalunya tidak aktif di dalam
tubuh. Ia menjadi semakin aktif apabila seseorang itu selalu kurang tidur dan
jiwanya selalu tertekan. Virus jenis ini acapkali berulang menyerang apabila
jiwa tertekan.
Camu Camu didapati berkesan menanggani virus ini.
Dengan pengambilan vitamin C dalam dos yang tinggi dan berterusan dapat
membantu tubuh menanggani stres dan melumpuhkan serangan virus jenis ini.
9 Kesuburan. Camu Camu lazim di makan oleh warga
Amerika Selatan kerana dipercayai boleh menambah kesuburan. Banyak juga kajian
yang menunjukkan bahawa pengambilan vitamin C yang tinggi dan berterusan mampu
menambah syahwat dan merawat mati pucuk "impotensi."
10 Penyakit Kanser. Vitamin C mampu melambatkan
rebakan dari keradangan kepada kanser. Beberapa ujikaji sains telah menunjukkan
bahawa permakanan vitamin C boleh menghindar dari dijangkiti penyakit kanser;
termasuk kanser kulit, kanser rahim, kanser payudara, kanser esophagus, dan
kanser pancreas.
11 Penyakit Mata. Vitamin C membantu mengurangkan
risiko cataracts. Vitamin C melindungi lensa dari kerosakan akibat dari
oksidasi dan radikal bebas dan melindungi enzim di dalam lensa. Vitamin C juga
memperbaiki penglihatan kepada pesakit “uveitis” (keradangan pada bahagian
tengah mata).Vitamin C bersama dengan anti-oksidan yang lain, termasuk zat
zinc, beta-carotene, dan vitamin E dapat melindungi mata dari mengalami AMD
yang menjadi penyebab kepada buta.
12 Pre-eclampsia. Vitamin C bersama dengan vitamin
E boleh menghalang “pre-eclampsia” pada kaum wanita. Pre-eclampsia ialah gejala
tekanan darah tinggi dan terlalu banyak protein di dalam air kencing. Juga
menjadi penyebab utama kepada keguguran.
13 Perlindungan dari Kencing Manis. Menurut kajian
2010 yang tersiar dalam “Journal of Agricultural and Food Chemistry”, Camu Camu
mengandungi "Asid Ellagik" yang tinggi. Asid Ellagik ialah sejenis
flavonoid yang anti-diabetes.
Produk Camu Camu. Kerana kandungan vitamin C yang
mega, Camu Camu telah menjadi bahan buruan dalam pasaran antarabangsa. Jepun
menjadi pemburu utama; menjadikan Camu Camu bahan komoditi eksotik yang hampir
di monopoli. Camu-Camu sangat terkenal dan sangat berharga di Jepun. Manakala
di Amerika dan Eropah, Camu Camu semakin mendapat perhatian.
Buah Camu Camu segar sangat masam. Ia dinikmati
dalam resepi jus, di blend dan di adun dengan gula atau susu, dan/ atau bersama
buah-buahan lain. Aroma harum dari pigmen (kemerahan/ungu) kulit buahnya tetap
menyegarkan. Ia juga dijadikan bahan tambahan pada ais krem, gula-gula, di buat
jem, dan berbagai resepi lagi.
Buah Camu Camu segar tidak mampu di eksport ke
serata dunia. Justru, kebanyakan pihak pengeluar menghasilkannya dalam bentuk
kapsul, serbuk/bubuk dan juga jus. Cara begini, manfaat Camu Camu dapat
diedarkan ke seluruh dunia.
THANKS FOR READING THIS :) LIKE IF YOU LIKE ♥